Entri Terkini »

30/04/2010

Dari Meja Yang diPertua PKPMI-CM 2010/2011



Assalamualaikum w.b.t., dan salam 1 Malaysia, setelah sekian waktu akhirnya dapat juga kesempatan bagi saya mencoretkan kata menoktahkan serangkai ayat. Pertamanya syukur saya panjatkan ke Hadrat Allah Yang Maha Esa kerana telah memberikan saya ruang dan peluang untuk meneruskan dan mengambil-alih tampuk kepimpinan dari sahabat saya, saudara Aizatnur bin. Zakaria, yang telah banyak sebenarnya memberikan tunjuk ajar selama saya berada di bawah beliau. Keduanya terima kasih diucapkan buat rakan-rakan seperjuangan terutama dari 3 universitas di Medan yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk memberikan yang terbaik dalam menjaga kebajikan ahli, meningkat serta memajukan PKPMI-CM untuk sesi ini. Ketiganya, buat semua ahli jawatankuasa tertinggi, ahli-ahli jawatankuasa yang sanggup meluangkan ruang dan masa untuk bersama-sama meneruskan dan memantapkan persatuan ini.
InyaALLAH, kami, barisan kepemimpinan PKPMI sesi ini akan melakukan sdaya yang mungkin untuk menjadikan PKPMI suatu persatuan yang sememangnya sesuai dengan namanya sendiri sebagai persatuan, yakni menyatukan kesemua ahli tanpa mengira bangsa dan agama. Maka pada sesi ini terdapat beberapa hal yang menjadi teras dalam memacu kami selaku barisan pimpinan untuk bekerja memajukan persatuan :

1. Meletakkan kesemua anak persatuan, termasuk perwakilan universiti sebagai satu, bergerak sebagai satu. Maksudnya di sini adalah, setiap aktiviti yang dijalankan baik unit, badan atau exco persatuan, perwakilan hendaklah terbuka dan tidak tertakluk kepada hanya pada sesetengah bilangan ahli sahaja, paling tidak adanya kehadiran wakil dari setiap anak persatuan.

2. Menjadikan persatuan lebih terbuka secara lebih menyeluruh. Secara umumnya adalah di mana persatuan membuka ruang kepada mana-mana badan di luar persatuan serta persatuan selain dari yang berada di bawah naungan PKPMI-pusat untuk mengadakan aktiviti bersama dengan persatuan ataupun memerlukan bantuan persatuan dalam menjayakan aktiviti mereka di medan.

3. Memastikan Kebajikan ahli terjaga dan memberikan bantuan yang termampu bagi meringankan beban ahli persatuan serta menganjurkan aktiviti berkaitan kebajikan. Oleh itu, demi menjaga kepentingan bersama, adalah amat diharapkan yang belum melakukan pembayaran yuran keahlian agar dapat berbuat demikian, agar penyaluran bantuan terutamanya dalam bentuk kewangan dapat berjalan dengan lancar. Untuk pengetahuan, yuran tahunan keahlian sebnarnya juga bertindak seperti tiket untuk mendapatkan bantuan dari persatuan, dengan terdaftarnya sebagai ahli berbayar membolehkan saudara-saudari mendapatkan bantuan kebajikan dari tabung kebajikan pusat secara automatik.

4. Menggalakkan aktiviti berbentuk kesukanan, kesenian dan kebudayaan. Sehubungan dengan itu, persatuan pada sesi ini membentuk exco yang baru dan membezakan dengan kerohanian, yak ni membentuk exco kesenian dan kebudayaan, dimana dengan wujudnya exco ini diharapkan lebih banyak aktiviti melibatkan kesenian dan kebudayaan anak bangsa ditonjolkan dan diadakan, manakala untuk sukan, pada ssi ini juga pihak persatuan akan menggiatkan juga aktiviti sukan dengan menghantar satu kontinjen di bawah payung PKPMI-CM untuk bertanding dalam pelbagai acara di Bandung Games 2010, yang bakal diadakan pada bulan Oktober disamping piala Konjen dan aktiviti lainnya.

5. Memantapkan jiwa meragakan kecemerlangan. Menerusi exco kerohanian dan exco pendidikan, persatuan melalui kebijakan exco akan membawa ahli merentas sempadan dalam mengisi ilmu di dada dan menanam dan menumbuhkan buah-buah akhlak yang baik menerusi aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan dan memastikan aktiviti yang dijalankan seimbang serta memenuhi aspek kecemerlangan serta adanya pengisian. kerohanian.

Akhir kata, saya berdoa serta berharap agar kepimpinan akan berjaya membawa perubahan ke arah menjadikan persatuan sebuah yang lebih baik, bersatu dan cemerlang. Sekali lagi diharapkan kepada ahli-ahli agar turut membantu dalam memajukan persatuan, kerana sesungguhnya persatuan adalah milik bersama, sesungguhnya kejayaan persatuan adalah kejayaan semua dalam merubahnya menjadi lebih baik dan kera itu juga "perubahan itu pasti".

Sekian,

Mohd Lokman Hamawi Bin Mohd
YDP PKPMI-CM 2010/2011

29/04/2010

Kepada semua rakyat Malaysia di sekitar Medan

Workshop on Emergency Coordination and Strategic Planning for Disaster Management Oleh MERCY Malaysia Pada Hari Ahad, 2 Mei 2010



Sukacita dimaklumkan bahawa Konsulat Janeral Malaysia di Medan dengan kerjasama MERCY Malaysia akan menganjurkan satu bengkel bertajuk "Workshop on Emergency Coordination and Strategic Planning for Disaster Management (ECSPDM)" untuk semua rakyat Malaysia yang bermastautin di Medan dan kawasan sekitarnya.

Seperti yang diketahui umum semenjak berlakunya bencana besar tsunami di Aceh pada 26 Disember 2004, telah menyusul beberapa kejadian bencana alam berskala besar di Sumatera dan Kepulauan sekitar seperti Nias, Simuele dan Mentawai. Kota Medan telah bernasib baik tidak mengalami bencana ini secara terus namun masih menerima impak sampingan bencana-bencana ini.

Oleh yang demikian, keperluan untuk perancangan strategik dan persiapan terhadap bencana masa akan datang amatlah mendesak supaya kumpulan sasaran dapat mengetahui, memahami serta bersiap sedia untuk menangani bencana ini secara sistematik dan tersusun.

Tujuan utama bengkel ini untuk memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada semua rakyat Malaysia sekitar Medan tentang tindakan yang perlu diambil sebagai persediaan menghadapi bencana-bencana alam yang mungkin berlaku di Sumatera ini.

Bengkel ini akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: Ahad, 2 Mei 2010
Masa: 9.00 pagi hingga 5.00 petang

Tempat:
Ballroom, Tingkat 8, Hotel Asean International, Jalan Hj. Adam Malik No.5, Medan 20144


Aturcara adalah seperti diberikut:

0900 Pendaftaran

0930-1000 Upacara pembukaan bengkel "ECSPDM" oleh Puan Norlin Othman,
Konsul Janeral Malaysia di Medan.

1000-1030 "Roles & Responsibility of Civil Society in Disaster Area" oleh Executive Director MERCY Malaysia.

1100-1200 "Emergency Coordination in Disaster Area" oleh Puan Zuraidah Mian.

1300-1400 Lunch Break

1400-1600 Bengkel-"Humanitarian Emergency Response" oleh Encik Norazam Ab Samah
Fasilitator: Ar Azman Zainonabidin, Sr Syed Harris S. Mustafa, Tajol
Idrus dan Zulkarnaen

1600-1700 Group presentation
Jamuan Teh


Semua rakyat Malaysia dan keluarga masing-masing adalah dijemput meghadiri bengkel ini yang diharap dapat membantu kita semua dalam menghadapi bencana alam khususnya gempa bumi atau tsunami.

Sila maklumkan penyertaan tuan/puan selewat-lewatnya hari Jumaat, 30 April 2010 melalui:

Telefon: 4531342
Fax: 4534681
email: malmedan@kln.gov.my

Sekian, terima kasih.

* Amanat dari Puan Norlin Othman, Konsul Janeral Malaysia di Medan.

26/04/2010

Laporan Makan Malam Bersama Duta Besar Malaysia ke Indonesia

Pada 13 April 2010, bertempat di Hotel Grand Angkasa, Medan, telah berlangsung Majlis Makan Malam bersama Duta Besar Malaysia ke Indonesia, TYT Dato’ Syed Munshe Afdzaruddin Bin Syed Hassandi.

Majlis tersebut bermula sekitar pada jam 8.00 malam. Majlis ini dimulai dengan kehadiran tetamu-tetamu kehormat lainnya seperti Konsulat Jenderal Malaysia di Medan, Pn. Norlin Othman, Pengarah JPMI, Dato’ Junaidi beserta wakil-wakil dari Expo Pendidikan yang sedang berlangsung selama 2 hari, iaitu 13 dan 14 April 2010.

Selain itu, majlis juga dihadiri pelajar seramai 110 orang pelajar, gabungan dari Universitas Sumatera Utara (USU), Universitas Medan (UNIMED) dan Institut Agama Islam Negeri Medan (IAIN).

Di majlis tersebut, terdapat beberapa wakil pelajar membuat persembahan iaitu tarian modern dance dan band. Kedua persembahan tersebut mendapat pujian DUBES. Menurut beliau, walaupun pelajar sibuk belajar, tetapi bakat tetap harus diasah supaya lebih berkembang dan membuatkan personaliti menjadi lebih menarik.



Selain itu, DUBES juga telah menunjukkan bakat beliau seperti menyanyi dan menari poco-poco. Tarian ini telah diikuti secara beramai-ramai oleh para pelajar yang hadir. Majlis makan malam ini berlangsung dalam suasana yang santai dan berakhir pada kira-kira jam 11 malam waktu Medan.

Sekian, dari kami PKPMI-CM

*Gambar Majlis Makan Malam Bersama Duta Besar Malaysia ke Indonesia akan menyusul kemudian.