Entri Terkini »

06/07/2009

Mendadak: 34 kes tempatan H1N1


Wabak selesema A (H1N1) meningkat luar biasa hari ini apabila mencatatkan rekod penularan tempatan tertinggi sebanyak 34 kes daripada 75 kes, menjadikan jumlah semuanya 434 kes.

Pada 29 Jun lalu, negara merekodkan 22 kes tempatan dan 112 kes import menjadikan keseluruhannya, sejak kes pertama dikesan 15 Mei lalu, 144 kes.

Dengan perkembangan terbaru, jumlah keseluruhan kes tempatan kini 101 sejak pertama kali dikesan 17 Jun lalu, sementara kes import berjumlah 333 kes kesemuanya.

Jumlah besar kes tempatan ini susulan peningkatan perlahan-lahan sejak awal bulan ini. Semalam negara merekodkan 12 kes penularan tempatan, sementara kelmarin 11 kes.

Tiga hari pertama bulan ini mencatatkan jumlah 19 kes tempatan.

Sebanyak 12 daripada 34 kes jangkitan tempatan berlaku di kalangan peserta Persidangan Farmaseutikal Asia Pasifik (APPC) yang berlangsung di Pulau Pinang pada 27 hingga 30 Jun lepas.

Seorang pelajar 20 tahun warga Indonesia dari Bandung yang tiba 23 Jun lalu untuk menghadiri seminar di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang menjangkiti 17 peserta APPC - seperti kes-kes yang disahkan kelmarin dan hari ini.

"Jumlah peserta APPC yang dijangkiti (setakat ini) ialah 25 di mana 18 merupakan jangkitan tempatan di kalangan warga Malaysia," kenyataan rasmi menteri kesihatan dipetik.


Daripada 75 kes baru yang dilaporkan, 64 warganegara Malaysia. Sementara seorang warga Filipina mengalami jangkitan tempatan daripada 34 kes, selebihnya rakyat tempatan.

Seramai empat pelajar SM Tsun Jin - ditutup seminggu hingga Jumaat lepas - yang sedang dikuarantin disahkan positif H1N1 dan dikelaskan sebagai kes tempatan.

Datuk Seri Liow Tiong Lai juga berkata daripada jumlah penghidap influenza A (H1N1), 343 orang atau 79 peratus telah sembuh, sementara 91 lagi masih dirawat di hospital.

"Jumlah yang telah sembuh ini adalah tinggi, meskipun berlaku peningkatan kes yang mendadak," beliau dilaporkan Bernama sebagai berkata.


Butiran 91 pesakit yang masih dirawat seperti berikut: Hospital Sungai Buloh (17 pesakit), Hospital Kuala Lumpur (22), Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (16), Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (10), Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (4), Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh (4), Hospital Pulau Pinang (3), Hospital Tawau (3), Hospital Batu Pahat (3), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star (2), Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu (2), Hospital Umum Sarawak (1), Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu (1), Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu (1), Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh (1), Hospital Melaka (1) dan Hospital Miri (1).

Menurut kenyataan hariannya, keseluruhan kontak yang sedang menjalani kuarantin berjumlah 1,016, namun tiada antara mereka yang mempunyai simptom H1N1.

Sumber: MalaysiaKini