Entri Terkini »

28/02/2009

Bayar Pajak Fiskal di Polonia sampai 2.5 juta?

Pada Januari tahun ini, persatuan dihujani dengan pelbagai persoalan daripada ahli mengenai pajak fiskal yang mula dikuatkuasakan secara serius di airport polonia- dulu hanya di pelabuhan belawan sahaja. Justeru, disini kami akan cuba menjelaskan secara ringkas mengenai pajak fiskal dan therapy kepada permasalahan ini.

Apa itu Pajak?

Secara ringkas, pajak atau lebih kita kenali sebagai cukai ini adalah yuran wajib rakyat Indonesia ke pendapatan Negara Republik Indonesia berdasarkan undang-undang, yang hasilnya digunakan untuk membiayai pengeluaran pemerintah.

Siapa yang wajib bayar pajak?

Pada dasarnya setiap orang peribadi baik warga Indonesia atau asing yang bertempat tinggal di Indonesia dan badan yang didirikan/berkedudukan di Indonesia merupakan Wajib Pajak (WP), kecuali ketentuan peraturan perundangan menentukan lain.

Student Malaysia dikecualikan

Pada tanggal 20 Jan 2009 yang lalu, wakil dari persatuan sempat menghadiri satu sesi dialog antara Direktorat Jenderal Pajak dengan seluruh agen pelancongan di Hotel Aryaduta anjuran Tourism Malaysia, Medan. Beberapa persoalan mengenai hal ehwal kebajikan pelajar telah diajukan. Ringkasnya, pelajar Malaysia yang belajar di Indonesia akan dikecualikan daripada membayar Pajak seperti yang tertakhluk kepada Peraturan Direktur Jenderal Pajak, Bab III, Pengecualian Pembayaran Pajak Penghasilan bagi Wajib Pajak Orang Peribadi Dalam Negeri Yang Akan Bertolak Ke Luar Negeri, Fasal 7, No.8. Berikut adalah bahagian dari peraturan tersebut.



Jangan tidak buat surat rekomendasi fakultas, takut kena denda deh…!

Mulai Januari 2009, setiap pelajar malaysia yang menggunakan perkhidmatan kapal terbang atau feri untuk pulang ke kampung wajib menunjukkan surat rekomendasi permohonan bebas fiskal dari fakultas masing-masing. Syukurnya, pelajar dibenarkan memperbanyak surat tersebut dan hanya menyerahkan satu SALINAN FOTOSTATnya sahaja ke loket bebas fiskal setiap kali berurusan. Jadi, satu surat rekomendasi sudah cukup untuk digunapakai selama tempoh pengajian. Berita baik bagi pelajar fakulti perubatan.


Contoh Stamp Boarding Pass

International Office (IO) FKUSU. Antara punca dan penyelesaian.

Oleh: Ahmad Aizatnur (TYDP PKPMI-CM)

Pada awal tahun 2008 berikutan krisis ekonomi global, para pelajar Malaysia yang menuntut di Medan, Indonesia telah dibebankan dengan peningkatan yuran pengajian yang tinggi. Keadaan bertambah rumit apabila peranan International Office (IO) dalam mengambil alih segala urusan imigrasi pelajar asing di Fakultas Kedokteran Universitas Sumatera Utara (FK USU) berjaya dikuatkuasakan sepenuhnya. Akibatnya, penuntut asing di FK USU kini terus dihantui dengan caj perkhidmatan yang melampau tinggi setiap kali berurusan di kantor tersebut.

Disini, saya akan mengulas sedikit sebanyak mengenai masalah ini dan beberapa langkah penyelesaian berdasarkan analisa singkat saya sepanjang tiga minggu memikul amanah dalam persatuan.

Punca masalah dapat kita simpulkan melalui faktor-faktor berikut. Pertama, terbongkarnya kes pemalsuan surat-surat fakulti yang dilakukan oleh seorang pelajar senior asing yang tidak bertanggungjawab pada akhir tahun 2007. Isu ini menjadi dalil utama mengapa peranan (IO)yang dulunya hanya menguruskan pelajar dari agensi Allianze College of Medical Sciences(ACMS)- telah di selaraskan kepada seluruh pelajar asing. Maka, bermula pada bulan Oktober 2008, pelajar asing tidak lagi dibenarkan menguruskan urusan imigrasinya sendiri melainkan mesti melalui jalur (IO).

Kedua, rancangan undang-undang Badan Hukum Pendidikan (BHP). Projek neo-liberalisme yang dicanang oleh pemerintah Republik Indonesia (RI) telah ditegakkan, di tengah lesunya gerakan kerakyatan dan buasnya kekuatan swasta yang hendak menggantikan kuasa dari pemerintah. Hal ini menyebabkan segala kebijakan yang melibatkan layanan dasar (essential service) rakyat tidak lagi ditentukan oleh pemerintah. Dan lebih bergantung kepada prinsip ekonomi pasaran bebas (free market). Justeru, tidak mustahil jika muncul segelintir golongan bourjois (baca: pihak fakulti) yang cuba mengambil kesempatan daripada kesempitan orang lain (baca: pelajar malaysia). Rujuk sini.

LANGKAH MENUJU PENYELESAIAN

Malaysia telah menjalin hubungan diplomatik dengan negara Republik Indonesia sejak sekian lama. Pada sekitar tahun 70-an, Malaysia pernah menagih simpati Indonesia untuk mengirim tenaga profesionalnya dalam membantu melaksanakan projek pembangunan negara. Hubungan antara dua negara ini ibarat air yang dicincang takkan putus. Saya akan menceritakan langkah-langkah awal bagi menurunkan harga yang terlalu tinggi di (IO) itu.

Pertama, mempertahankan, bukan memperparah. Saya tidak bersetuju dengan sikap gopoh segelintir ahli yang memilih untuk ’menyerang’ (IO) secara peribadi. Perlu diingatkan bahawa tanpa adanya people power atau political will, anda tidak akan mampu berbuat apa-apa. Bahkan, hanya menimbulkan keadaan yang lebih acute. Dalam hal ini persatuan akan bertindak untuk mempertahankan apa yang ada iaitu SKLD pelajar FK USU dan segala urusan imigrasi pelajar FKG USU, IAIN-SU dan UNIMED.

Kedua, menyerahkan pada mereka yang berautoriti. Persatuan sedang berusaha membawa isu ini ke peringkat atasan iaitu Kedutaan Besar Malaysia dan Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia (JPMI) di Jakarta yang bertanggungjawab atas kebajikan rakyat Malaysia di Indonesia. Kita akan menyerahkan segala dokumen dan hal-hal yang berkaitan kepada mereka bagi mencari penyelesaian yang terbaik. Isu ini juga akan cuba diketengahkan dalam kongres PKPMI Pusat yang bakal diadakan dalam waktu yang terdekat ini.

Walaubagaimanapun, ahli yang berkaitan perlulah mencari inisiatif disaat berhadapan dengan situasi sebegini. Persatuan akan menyokong segala tindakan pelajar tajaan negara samada JPA, MARA, FELDA, ATM dan lain-lain untuk memohon elaun tambahan. Tabung Kebajikan PKPMI juga akan segera dibentuk bertujuan meringankan beban yang ditanggung oleh pelajar. Kami turut menyarankan kepada semua ahli supaya berjimat cermat dalam berbelanja dan mengurangi segala aktiviti yang kurang berfaedah. Bak kata pepatah, hemat pangkal kaya, sia-sia hutang tambah.

Dari kiri; Amsyar bin Mohammad (YDP PKPMI-CM) dan Ahmad Aizatnur bin Zakaria (TYDP PKPMI-CM) dalam Majlis Perlantikan dan Angkat Sumpah, Mesyuarat Agong Tahunan bertempat di Yayasan Pengembangan Persahabatan Indonesia-Amerika (YPPIA).

Motto kami: ”Gembleng Kekuatan Pasak Keilmuan”

Wallahua’lam.

Pengenalan Blog Interaktif PKPMI-CM


Alhamdulillah. Bersyukur kita ke hadrat ilahi kerana atas limpah dan kurnia serta rahmatnya maka pada hari ini kita masih lagi dikurniakan dengan nikmat iman dan islam. Selawat atas junjungan besar Rasulullah Saw. yang menjadi contoh suri teladan yang terbaik buat seluruh kaum muslimin.

Blog PKPMI-CM ini dibina bertujuan bagi merealisasikan antara hala tuju persatuan sebagai satu-satunya pertubuhan yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia iaitu menjaga kebajikan setiap ahli dari sudut pendidikan, kesihatan, dan segala urusan kehidupan di Medan. Kita akan menjadikan islam sebagai agama rasmi seperti yang termaktub dalam perlembagaan tanpa menghalang mana-mana penganut agama lain untuk menjalankan ritual agamanya masing-masing. Malah, kita akan berusaha untuk menggembleng kekuatan yang ada pada bangsa India, Cina dan Melayu dalam rangka mewujudkan sebuah keluarga besar PKPMI-CM yang akan mengangkat Malaysia ke persada antarabangsa.

Semoga blog pkpmi-cm ini menjadi wadah kepada para ahli untuk menyalurkan sebarang komentar, pandangan, masalah maupun cadangan yang membina kepada persatuan dalam rangka mewujudkan sebuah masyarakat progresif yang cemerlang, gemilang dan terbilang dari aspek sosial dan tingkah lakunya.

Wallahua'lam

Biro Jurnalistik Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Medan (PKPMI-CM)