Entri Terkini »

09/07/2010

Pembaharuan dan Pembuatan Kittas

Salam hormat, atas permintaan, di sini diberikan gambaran secara umum akan proses ataupun prosedur pembaharuan dan pembuatan kittas, kadar biaya yang dikenakan adalah tertakluk kepada pindaan jika ada. Untuk kadar biaya dan dokumen tambahan yang mungkin diperlukan serta maklumat lanjut, boleh mengajukan secara terus kepada Exco Imigrasi dan Kepolisian.
CARTA PEMBUATAN DAN PEMBAHARUAN KITTAS

Program Tautan Budi PKPMI Pusat

Assalamualaikum W.B.T dan Salam hormat buat semua ahli  PKPMI-CM dan pelawat blog sekalian.
PKPMI Pusat akan mengadakan program bakti sosial di negeri Pahang Darul Makmur, dan secara lengkapnya dapat dilihat dari kertas kerja prgram di bawah ini.

Program Tautan Budi                                                                

08/07/2010

Soft Opening Bandung Games 2010 @ Buletin Utama

Suatu upacara soft launching Bandung Games 2010 telah diadakan yakni dengan melancarkan laman web rasmi Bandung Games, di http://www.bandunggames.com. Berikut adalah petikan serta video dari upacara tersebut. Keterlambatan memasukkan artikel ini amat dikesali kerana terdapatnya beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Harap maklum.

Majlis Pelancaran Web Bandung Games 2010 Print E-mail

20 April 2010


SEKRETARIAT Bandung Games 2010 dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan hari ini melancarkan laman web rasminya www.bandunggames.com di Menara Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Dato’ Ahmad Shabery Cheek. Turut hadir menyerikan majlis ialah Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Tan Sri Profesor Ambassador Da’i Bachtiar dan Pengerusi Bandung Games 2010, Che Azizuddin Che Ismail.


Diadaptasi dari temasya sukan antarabangsa, penganjuran Bandung Games 2010 bertujuan mewujudkan landasan kepada 6,000 pelajar Malaysia di Indonesia untuk mendekatkan diri sesama rakan pelajar dan pihak kerajaan Malaysia. Ia juga diharap dapat mewujudkan hubungan mesra di antara para pelajar Malaysia dengan masyarakat setempat supaya mereka lebih prihatin dan mampu menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat negara jiran itu sekiranya dilanda sebarang malapetaka yang tidak diingini seperti yang berlaku sebelum ini.


Menurut Dato’ Ahmad Shabery, kerajaan sentiasa berusaha melahirkan modal insan yang mampu menyahut cabaran global.
“Sebab itu kita harus menerapkan nilai-nilai murni di kalangan para pelajar Malaysia terutama yang menuntut di luar negara. Kita mahu belia negara sentiasa bersatu padu bukan sahaja di dalam mengejar kejayaan akademik tetapi turut prihatin dengan keadaan sekeliling.


Justeru, temasya sukan seperti Bandung Games 2010 ini diharap dapat menerapkan semangat kekitaan dan bantu-membantu di antara para pelajar Malaysia di Indonesia dan pada masa yang sama prihatin apabila negara jiran kita dilanda musibah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk Bandung Games 2010, Che Azizuddin Che Ismail berkata, temasya sukan ini akan mewujudkan hubungan dua hala yang sihat antara Malaysia dan Indonesia.


“Kita berharap dengan adanya temasya seumpama ini, para pelajar Malaysia berpeluang berinteraksi bukan sahaja di kalangan rakan senegara malah masyarakat setempat selain mempelajari budaya dan gaya hidup rakyat di Indonesia.


“Menerusi Bandung Games 2010 ini juga para pelajar berpeluang mengenalpasti halatuju kerjaya masing-masing dengan adanyanya Ekspo Road To Bandung yang bakal diadakan di Jakarta pada 1 hingga 3 Oktober 2010. Maka itulah kita melancarkan laman web Bandung Games 2010 pada hari ini untuk memudahkan para pelajar mendapat maklumat terkini bukan sahaja mengenai temasya tersebut malah peluang-peluang lain yang ditawarkan kepada mereka terutama daripada sektor korporat,’’ katanya.

Jelas beliau lagi, Bandung Games 2010 merupakan acara tahunan yang akan dikendalikan sendiri oleh para pelajar Malaysia yang menuntut di Indonesia dengan dipandu oleh jawatankuasa induk selama tiga tahun.


Temasya yang julung-julung kalinya diadakan bermula tahun ini akan berlangsung di Bandung, Indonesia pada 8, 9 dan 10 Oktober 2010 membabitkan kira-kira 6,000 pelajar Malaysia yang menuntut di 17 buah daerah seluruh Indonesia. Penganjurannya diharap dapat menberi kesan positif terhadap aspek sosial, ekonomi dan politik bukan sahaja rakyat malah kedua-dua buah negara.

Skim Pinjaman Yuran Pengajian Di Luar Negara

Salam hormat buat semua ahli PKPMI-CM dan pelawat blog persatuan sekalian, pihak JPA telah membuka permohonan untuk skim pinjaman yuran pengajian di luar negara untuk gelombang kedua di mana bermula dari 1 Julai hingga 1 Ogos 2010 bagi ijazah pertama. Kepada yang berminat dapat membaca garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak JPA. Diharapkan dapat sedikit sebanyak memberikan manfaat buat kita semua.

Garis Panduan
Skim Pinjaman Yuran Pengajian Di Luar Negara
Untuk Peringkat Ijazah Pertama


1.0 Prinsip Dan Konsep Pinjaman

Kerajaan pada prinsipnya mengalakkan pelajar-pelajar mengikuti pengajian di dalam negara selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan ilmu. Sehingga kini terdapat 20 buah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan lebih 500 Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang menawarkan pelbagai bidang pengajian kepada pelajar. Sungguhpun demikian, kerajaan menerima banyak permohonan daripada pelajar-pelajar persendirian yang sedang mengikuti pengajian di luar negara untuk mendapatkan bantuan kewangan. Sehubungan itu, kerajaan meluluskan Skim Pinjaman Yuran Pengajian Di Luar Negara Untuk Peringkat Ijazah Pertama bagi meringankan beban kewangan pelajar-pelajar persendirian di luar negara tertakluk kepada syarat dan kriteria yang tertentu.

Kemudahan pinjaman yang disediakan adalah berkonsepkan cost sharing di mana JPA akan membiayai yuran pengajian sahaja tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM 250,000.00 seorang bagi Program Pinjaman Khas Perubatan dan maksimum RM 200,000.00 seorang bagi Program Pinjaman Biasa. Had ini ditetapkan agar tidak membebankan pelajar-pelajar untuk membuat bayaran balik selepas tamat pengajian nanti. Lain-lain kos seperti bayaran yuran pengajian yang melebihi daripada jumlah pinjaman, sara hidup, rawatan kesihatan, tambang perjalanan, alat tulis, buku dan kerugian pertukaran wang asing adalah di bawah tanggungjawab pelajar sendiri.

2.0 Jenis-Jenis Pinjaman

Jenis-jenis pinjaman yang tawarkan adalah seperti berikut:-

  • Pinjaman Khas Perubatan

Pinjaman ini ditawarkan kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian dalam Bidang-Bidang Kritikal seperti yang dinyatakan di para 3.1 iaitu bidang Perubatan, Pergigian dan Farmasi. Pelajar-pelajar yang mendapat kemudahan pinjaman ini boleh dikecualikan daripada membayar balik pinjaman tersebut sekiranya pelajar bersetuju mengikat kontrak untuk berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia selama 10 tahun selepas menamatkan pengajian dengan jayanya.

  • Pinjaman Biasa
Pinjaman ini ditawarkan kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian dalam Bidang-Bidang Keutamaan dan Bidang-Bidang Lain seperti yang dinyatakan di para 3.2 dan 3.3. Pelajar-pelajar yang mendapat kemudahan pinjaman ini dikehendaki untuk membayar balik keseluruhan jumlah pinjaman selepas menamatkan pengajian.

3.0 Bidang yang Ditaja

Bidang-bidang pengajian yang ditaja terbahagi kepada 3 kategori umum seperti berikut:

3.1. Bidang-Bidang Kritikal

  • Perubatan
  • Pergigian
  • Farmasi

3.2. Bidang-Bidang Keutamaan

  • Sains Veterinar
  • Sains dan Teknologi (kecuali Sains Komputer dan Teknologi Maklumat)
  • Kejuruteraan (kecuali Elektrikal & Elektronik, Mekanikal dan Awam)
  • Senibina / RIBA Part II
  • Perakaunan / ACCA

3.3. Bidang-Bidang Lain (Sains Sosial & Sastera Ikhtisas)

  • Undang-undang
  • Ekonomi
  • Kewangan/Perbankan/Pemasaran/ Perniagaan Antarabangsa
  • Perhubungan Antarabangsa
  • Komunikasi

Kursus-kursus yang ditaja hanya terdiri daripada kursus-kursus yang telah diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia sahaja. Semakan pengiktirafan boleh dibuat melalui Portal JPA di alamat http://www.jpa.gov.my/perkhidmatan-teras/latihantajaan/pengiktirafan-kelayakan/

4.0 Syarat-Syarat dan Kriteria Pemohon


4.1 Syarat-Syarat Umum

  • Warganegara Malaysia;
  • Berumur di bawah 25 tahun pada 1 Januari pada tahun semasa permohonan dibuat;
  • Belum mempunyai Ijazah Pertama;
  • Ibu/bapa/adik-beradik/pelajar bukan merupakan peminjam/penjamin tegar kepada mana-mana skim pinjaman/biasiswa kerajaan;
  • Ibu/bapa/adik-beradik/pelajar tidak mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman dan tidak disenaraihitamkan dalam mana-mana skim pinjaman kerajaan;
  • Ibu/bapa/adik-beradik/pelajar tidak pernah melanggar mana-mana kontrak biasiswa kerajaan;
  • Hanya seorang daripada ahli keluarga sahaja yang layak mendapat pinjaman pada satu-satu masa.
  • Permohonan ahli keluarga yang lain hanya akan dipertimbangkan selepas peminjam sebelumnya telah membuat bayaran balik pinjaman sekurang-kurangnya 6 bulan; dan
  • Bagi program berkembar, pinjaman hanya diberikan untuk tempoh pengajian di luar negara sahaja.

4.2 Syarat-Syarat Khusus

4.2.1 Bidang-Bidang Kritikal (Negara Pengajian: Ireland/ United Kingdom/ Australia/ New Zealand)

  1. Program Sepenuh Masa
    • Telah menyempurnakan pengajian tahun pertama dan kedua di luar negara;
    • Tidak pernah gagal dalam mana-mana subjek pada tahun pertama dan kedua;
    • Telah diterima masuk ke tahun ketiga pengajian di luar negara; dan
    • Mengemukakan keputusan peperiksaan tahun pertama dan kedua semasa permohonan dikemukakan ke JPA.
  2. Program Berkembar PMC-Ireland
    • Telah menyempurnakan pengajian tahun pertama di luar negara;
    • Tidak pernah gagal dalam mana-mana subjek pada tahun pertama;
    • Telah diterima masuk ke tahun dua pengajian di luar negara; dan
    • Mengemukakan keputusan peperiksaan tahun pertama semasa permohonan dikemukakan ke JPA.
  3. Program Berkembar IMU
    • Telah menyempurnakan pengajian peringkat pra-klinikal di dalam negara dan satu semester pengajian di luar negara;
    • Tidak pernah gagal dalam mana-mana subjek di peringkat pra-klinikal dan semester pertama di luar negara;
    • Telah diterima masuk ke tahun tiga pengajian di luar negara; dan
    • Mengemukakan keputusan peperiksaan peringkat pra-klinikal dan semester pertama di luar negara semasa permohonan dikemukakan ke JPA.
  4. Program Berkembar MELAKA MANIPAL
    • Telah menyempurnakan pengajian tahun pertama di luar negara;
    • Tidak pernah gagal dalam mana-mana subjek pada tahun pertama;
    • Telah diterima masuk ke tahun dua pengajian di luar negara;
    • Mendapat sekurang-kurangnya markah 70% pada peperiksaan tahun pertama; dan
    • Mengemukakan keputusan peperiksaan tahun pertama semasa permohonan dikemukakan ke JPA.
  5. Program Sepenuh Masa
    • Telah menyempurnakan pengajian tahun pertama di luar negara;
    • Tidak pernah gagal dalam mana-mana subjek pada tahun pertama;
    • Telah diterima masuk ke tahun dua pengajian di luar negara;
    • Mendapat sekurang-kurangnya CGPA 3.00 atau setaraf bagi peperiksaan tahun pertama di luar negara; dan
    • Mengemukakan keputusan peperiksaan tahun pertama semasa permohonan dikemukakan ke JPA.
    4.2.2 Bidang-Bidang Keutamaan dan Bidang-Bidang Lain

  6. Program Sepenuh Masa/ Program Berkembar/ Pindahan Kredit
    • Telah menyempurnakan pengajian semester pertama di luar negara (bagi pelajar lepasan diploma) atau setahun pengajian di luar negara (bagi pelajar lepasan pra-universiti);
    • Tidak pernah gagal dalam mana-mana subjek pada semester atau tahun pertama;
    • Telah diterima masuk ke semester atau tahun pengajian seterusnya di luar negara;
    • Mendapat sekurang-kurangnya CGPA 2.50 atau setaraf bagi kursus senibina; atau CGPA 2.75 atau setaraf bagi kursus-kursus lain; dan
    • Mengemukakan keputusan peperiksaan semester pertama atau tahun pertama di luar negara semasa permohonan dikemukakan ke JPA.

5.0 Bayaran Balik Pinjaman

Bayaran balik pinjaman perlu dibuat selepas pelajar berjaya menamatkan pengajian atau ditamatkan pengajian kerana sebab-sebab seperti kelemahan akademik, sakit dan sebagainya. Bayaran secara ansuran bulanan adalah berdasarkan jumlah pinjaman yang dibuat.

Contoh jadual bayaran balik pinjaman sekiranya meminjam sebanyak RM250,000 dan RM200,000 adalah seperti berikut:-

Jenis Pinjaman Jumlah Pinjaman Bayaran Ansuran Bulanan
PINJAMAN KHAS PERUBATAN RM 250,000.00 RM 600.00 x 60 Bulan
RM 800.00 x 100 Bulan
RM 1000.00 x 134 Bulan
PINJAMAN BIASA RM 200,000.00 RM 400.00 x 40 Bulan
RM 600.00 x 120 Bulan
RM 800.00 x 140 Bulan

6.0 Maklumat Permohonan

  1. Tarikh Permohonan Dibuka/Ditutup

    Permohonan akan dibuka 2 kali setahun seperti berikut:

    Sesi Pertama: Permohonan dibuka pada 1 Februari dan ditutup pada 1 Mac

    Sesi Kedua: Permohonan dibuka pada 1 Julai dan ditutup pada 1 Ogos

  2. Cara Membuat Permohonan

    Permohonan hendaklah dibuat secara online di Portal JPA di alamat www.jpa.gov.my dan disusuli dengan penghantaran dokumen-dokumen sokongan.

  3. Penghantaran Dokumen-Dokumen Sokongan

    Dokumen-dokumen sokongan (hardcopy) seperti di bawah hendaklah dihantar ke JPA selewat-lewatnya 10 hari bekerja dari tarikh tutup permohonan. Dokumen-dokumen sokongan yang perlu disertakan ialah seperti berikut:-

    • Slip pengesahan penerimaan permohonan online;
    • Salinan Kad Pengenalan (Pelajar, ibubapa/penjaga & adik-beradik);
    • Salinan Surat Beranak (Pelajar & ibubapa/penjaga);
    • Salinan Pasport (Pelajar);
    • Salinan surat tawaran kemasukan ke universiti/institusi (Unconditional Offer) dan disertakan maklumat kos yuran pengajian setahun dan sepanjang pengajian;
    • Salinan keputusan peperiksaan peringkat Ijazah Pertama untuk tahun-tahun sebelumnya;
    • Salinan Sijil SPM / Sijil STPM / Matrikulasi / Diploma / A- Level / IB / Lain-lain;
    • Salinan slip gaji ibubapa / penjaga;
    • Salinan kad pencen ibubapa / penjaga; dan
    • Salinan Borang EA (Swasta) dan Borang EC (Kerajaan) ibubapa / penjaga untuk 2 tahun terkini.
    • Salinan “No Objection Certificate (NOC)” daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk kursus perubatan, pergigian dan farmasi sahaja.
    • Salinan bukti bagaimana pemohon dapat menampung kos sara hidup dan lain-lain kos semasa mengikuti pengajian di luar negara. Contoh: salinan buku penyata bank, ASB dan lain-lain.
  4. Semua dokumen sokongan mestilah dikepilkan (binding) dan disahkan oleh Pegawai Kerajaan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan dihantar ke alamat seperti berikut:
    Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
    Bahagian Pembangunan Modal Insan
    Aras 5, Blok C1, Kompleks C
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62510 Putrajaya
    (u/p: Unit Penawaran Latihan Sebelum Perkhidmatan)
  5. Tempoh memproses permohonan
  6. Tempoh memproses permohonan ialah selama 40 hari bekerja dari tarikh tutup permohonan. Permohonan yang tidak lengkap tidak akan diproses.

  7. Keputusan Permohonan
  8. Keputusan permohonan akan dimaklumkan secara online di Portal JPA selepas tempoh memproses permohonan selesai.

7.0 Hak JPA

Pertimbangan adalah tertakluk kepada peruntukan yang ada serta perubahan dasar kerajaan dari semasa ke semasa. Oleh itu, JPA tidak terikat untuk meluluskan sebarang permohonan yang diterima walaupun permohonan tersebut memenuhi syarat-syarat dan kriteria yang telah ditetapkan;

JPA berhak untuk membuat sebarang perubahan kepada kemudahan pinjaman yang disediakan pada bila-bila masa termasuk syarat dan kriteria tanpa perlu mengemukakan sebarang notis pemberitahuan terlebih dahulu;

JPA berhak menarik balik tawaran pinjaman sekiranya didapati pemohon memberi maklumat palsu; dan

Permohonan yang tidak lengkap, tidak menepati arahan dan tidak memenuhi syarat kelayakan sebagaimana yang dinyatakan tidak akan dipertimbangkan.

8.0 Pertanyaan

Sebarang pertanyaan mengenai permohonan Skim Pinjaman Yuran Pengajian Luar Negara boleh dibuat dengan menghubungi:

Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Bahagian Pembangunan Modal Insan
Aras 5, Blok C1, Kompleks C
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62510 Putrajaya
(u/p: Unit Penawaran Latihan Sebelum Perkhidmatan)

Tel :03-8885 3436 / 3892 / Faks :03-8889 2172 / E-mail : pinjaman.yuran@jpa.gov.my