Entri Terkini »

10/11/2009

Laporan Sambutan Hari Raya PKPMI-CM 2009

Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri merupakan acara tahunan bertaraf mega yang disambut oleh semua ahli di peringkat PKPMI-CM. Pada tahun ini, acara yang bermakna ini disambut pada 18 Oktober 2009 bersamaan 30 Syawal 1430 H bertempat di Pusat Pelajar Malaysia.

Ahli PKPMI-CM di semua peringkat termasuk dari USU, IAIN dan Unimed tidak melepaskan peluang untuk sama-sama memeriahkan acara sambutan Hari Raya Aidilfitri walaupun telah berada di penghujung syawal. Tetamu yang hadir adalah berkisar 250 orang.

Tetamu mula memenuhi majlis seawal jam 11.00 WIB. Mereka dihidangkan dengan juadah raya seperti rendang ayam, nasi himpit berkuah kacang, dan tidak ketinggalan, kuih-muih raya yang menambah selera para tetamu. Suasana majlis bertambah meriah dengan ketibaan Konsul Jenderal Malaysia di Medan, Tuan Fauzi bin Omar bersama isteri dan anaknya sebagai tetamu VIP. Lagu-lagu raya yang didendangkan sepanjang majlis sambutan berlangsung cukup membuatkan para tetamu seolah-olah menyambut hari raya di tanah air sendiri.

Majlis beransur berakhir sekitar jam 15.00 WIB. Majlis sambutan hari raya ini dianggap sukses kerana secara umum, perjalanan majlis berjalan dengan baik dan kehadiran tetamu juga melebihi target yang ditetapkan. Terima kasih atas kehadiran ahli yang menjayakan program. Tidak ketinggalan, jutaan penghargaan kepada para panitia yang diketuai oleh Ust. Shatir bin Kamal (IAIN) kerana bertungkus lumus sehingga perjalanan majlis begitu lancar dan sempurna. Diharapkan program sebegini akan diteruskan sebagai wadah untuk yang beragama Islam terutamanya, bagi mengeratkan ukhuwah sesama, bermaaf-maafan jika ada khilaf antara satu sama lain, dan sebagai salah bentuk ibadah yang bernilai di sisi Allah S.W.T.. Sekian, terima kasih.

Disediakan oleh,

Wan Mohd Suhafifi bin Sukri, Ketua Biro Kebajikan dan Kebudayaan PKPMI-CM.

09/11/2009

Tabung Kebajikan PKPMI-CM


(sila klik pada gambar untuk perbesarkan)

Pesanan dari Exco Kebajikan & Kebudayaan adalah perihal kebajikan pelajar Malaysia di Medan sangat dititikberatkan. Sesiapa saja pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Medan yang ditimpa kemalangan, sakit, perlukan bantuan rawatan dan sebagainya, sila hubungi Exco Kebajikan & Kebudayaan seperti yang tertera pada gambar di atas dengan segera!!

Artikel: Antara Paradigma dan Stereotaip

Artikel ini disiarkan dalam Buletin PARADIGMA Edisi 2.
Oleh: Omar bin Md Rasib, Bendahari Agung PKPMI-CM.

Seringkali saya ungkapkan dalam pelbagai ruang bicara. Seringkali saya bawakan dalam pemikiran saya kepada melalui beberapa ucapan atau perbincangan. Walaupun tidak khusus mengenainya, tapi menjurus ke arah itu dan saya akan terus berkata mengenainya. Paradigma dan stereotaip!

Dalam kamus Dewan edisi ketiga, paradigma bermaksud lingkungan atau batasan pemikiran (seseorang atau sesuatu organisasi) pada sesuatu masa yang dipengaruhi oleh pengalaman, pengetahuan, kemahiran, dan kesedaran yang ada. Kalau saya katakan anjakan paradigma, itu bermaksud peralihan paradigma daripada satu lingkungan atau batasan kepada sesuatu yang baru dan biasanya kepada yang lebih baik. Stereotaip pula bererti tidak mengandungi atau menunjukkan ciri-ciri yang baru atau asli, biasa sahaja sebagaimana yang seringkali kedapatan, kedengaran dan sebagainya.

Apa maksudnya? Mudahnya boleh difahamkan begini: paradigma ialah kita memikirkan sesuatu yang baru atau lebih dari orang lain berdasarkan beberapa kemampuan yang kita sudah sedia ada yang dapat mempengaruhi keadaan. Stereotaip adalah satu perbuatan yang kita lakukan mengikut yang sebelumnya tanpa ada unsur-unsur yang menunjukkan kelainan. Saya akan jelaskan mengapa saya asyik menimbulkan perkara ini dan bagaimana pula dua perkara ini menjadi satu paradoks yang ketara. Inilah hasil penelitian saya.

Sebagai pimpinan yang telah melalui beberapa corak dan sistem kepimpinan persatuan, saya dapat merasakan pelbagai variasi yang membingungkan dan menimbulkan puluhan tanda tanya. Mengapa begitu, mengapa begini, untuk apa, bagaimana, bila, dan berbagai-bagai lagi ayat soal bermain-main dalam benak saya tentang sistem pentadbiran perjalanan persatuan terutamanya persatuan-persatuan pelajar kita (khusus di Medan, tempat lain tidak diketahui kerana belum pernah ke sana). Antara persoalan utama yang saya mahu bangkitkan ialah – dari mana sistem atau etika pentadbiran ini diambil? Siapa yang memulakannya? Dan kenapa sistem ini bagaikan tiada sistem?

Dari pengamatan saya, ramai (terutamanya ahli jawatankuasa persatuan atau program) yang tidak berfikir atau merancang dengan baik apa yang mahu dibuat serta bagaimana memastikan kelancaran perancangannya. Mereka hanya berfikir secara mudah dan tidak teliti atau semberono. Apa yang tahun lalu/ sesi lepas lakukan, akan diteruskan tanpa memikirkan alternatif lain untuk mengembangkan lagi pemikiran atau perancangan tersebut. Kalau yang telah dibuat itu A, akan A lah yang dibuat sampai bila-bila. Tiada AB atau AA. Kalau ditambah pun menjelaskan lagi kedangkalan pemikiran pembuatnya.

Pernah saya menegur beberapa individu tentang perkara ini, tetapi apa yang mahu mereka lakukan tetap diteruskan walaupun telah diterangkan baik buruk serta cadangan alternatif. Kalau tidak mahu terima cadangan saya tidak mengapa, yang amat dikesalkan adalah mereka terus dengan idea lama tanpa ada sebarang perubahan dan dampaknya kepada generasi seterusnya. Saya tidak pasti apa sebenarnya yang mereka fikirkan?

Ada juga yang buntu memikirkan apa yang sepatutnya dilakukan daripada sesuatu idea yang sudah ada. Mungkin tidak mahu memberatkan fikiran dan menyukarkan keadaan, idea lama itu menjadi satu-satunya pilihan. Tidak ada unsur pembaharuan atau perbaikan dalam menerima idea tersebut. Ini memang sikap orang yang malas berfikir dan malas membaca! Atau tahap pemikirannya belum mencapai aras tertentu yang diperlukan. Andai anda suka berfikir, merancang serta banyak mengambil pengalaman dari bermacam-macam suasana, anda akan akan dapat mengembangkan idea yang ada menjadi satu idea yang menarik.

Ini dapat dibuktikan oleh orang yang telah lama berkecimpung dalam bidang pentadbiran. Ertinya, pengalaman yang banyak dan aktif menggali sesuatu akan menjadikan anda dapat berfikir positif atas sesuatu idea. Sama ada mahu menerima, menolak atau menerima dengan penambahan, anda akan membuahkan keputusan yang baik. Jadi, stereotaip bukan lagi minda anda kerana hanya akan membuatkan anda nampak canggung.

Tidak ramai yang dapat berfikir jauh juga menimbulkan suatu idea baru yang boleh diketengahkan. Mereka yang berparadigma tinggi memang sukar untuk dicari. Ini banyak bergantung kepada pengalaman, pendidikan, pengetahuan, dan kesedaran yang ada pada diri seseorang itu. Kalau kita perhatikan, orang yang telah lama dalam sesuatu organisasi selalunya mempunyai satu pemikiran yang hebat dan mungkin luar biasa berbanding mereka yang baru dalam organisasi, mungkin terkapai-kapai memahami pemikiran tersebut. Orang sebegitu telah didedahkan dengan memerhati dari pelbagai sudut pandang. Mereka tahu apa positif dan negatif sesuatu perkara serta mampu membuat penilaian yang baik walaupun dalam keadaan yang menekan. Menjawab pelbagai persoalan yang ditimbulkan pun bukan mejadi masalah. Minda serta tahap keyakinan mereka telah disistemkan dengan baik berbanding orang yang baru yang banyak mengikut apa yang mereka tahu dan bukan apa yang mereka faham.


Apa yang paradoksnya? Masih ramai yang tidak menyedari bahawa mereka dikategorikan sebagai ‘prostereotaip’ yang dengan gagah mempertahankan kejahilan mereka. Orang-orang yang ‘proparadigma’ akan menjadi musuh mereka. Sudah pasti mereka sebegini adalah orang-orang yang sentiasa melenting ketika ada orang yang mahu mengubah atau membawa perubahan dalam persatuan terutama yang melibatkan kepentingan mereka. Orang yang berparadigma pula selalunya akan bersabar dengan karenah tersebut kerana mereka juga adalah seperti mereka juga dahulu walaupun ada juga yang naik berang. Antara paradigma dan stereotaip, anda di pihak mana dan mahu yang mana?

Seorang pengkaji alam semula jadi Perancis, John Fabre pernah membuat kajian mengenai sejenis ulat bulu yang tabiatnya suka mengikut ulat di hadapannya. Dalam kajian itu Fabre telah mengisi sebuah pasu dengan tanah dan menanam pokok yang menjadi makanan ulut bulu tersebut di tengah-tengahnya. Fabre kemudian menyusun ulat bulu tersebut seekor demi seekor, mengelilingi tepi pasu dan membiarkannya. Seperti biasa, ulat-ulat bulu tersebut berjalan mengikut ulat yang di hadapannya. Mereka berjalan mengelilingi pasu jam demi jam, dan hari demi hari sehingga akhirnya semua mati kebuluran.

Jika salah seekor daripada ulat bulu itu bergerak keluar kira-kira enam inci daripada pusingan tersebut, ia pasti akan mendapat makanan yang diperlukan. Malangnya ulat-ulat bulu tersebut tetap dengan tabiatnya mengikut ulat di hadapannya tanpa berfikir dan bertindak bijak. Mereka mengikut rutin, dan akhirnya semua menemui maut. Kalau anda terus dengan pemikiran stereotaip atau mengikut orang sebegitu, nasib anda akan seperti ulat bulu tersebut.

Saya yakin sebenarnya ramai yang berkebolehan dalam kepimpinan dan ada potensi untuk maju dan menjadi yang terbaik. Cuma suasa sekitar kita yang amat kurang untuk menonjolkan potensi yang ada. Dalam beberapa mesyuarat sama ada di peringkat biro, exco, MT, juga program, memang saya temui pandangan-pandangan yang bijak dan mahukan perubahan serta kelainan. Bila ada pandangan yang menolak pandangannya, dia tetap tenang dan menerimanya. Membalas pendapat lain dengan hujah yang bernas. Saya amat suka cara begini. Sebagai seorang mahasiswa, kita sepatutnya berfikir lebih maju dan sentiasa memandang positif, dan menjadikan yang dahulu sebagai sandaran teladan.

Ada separuhnya terpengaruh dengan pandangan dan idea lama sehingga sukar untuk menerima perubahan. Ada yang takut mengeluarkan pandangan baru, takut dengan orang lain, serta ada yang mempunyai idea yang baik tetapi mungkin tidak ada peluang atau tidak diberi peluang untuk bersuara.

Andainya anda diberi peluang untuk melantik pemimpin sama ada dalam persatuan atau program, pastikan orang yang anda pilih itu mempunyai keterbukaan dalam menerima idea baru dan sedia untuk dikriktik serta akan belajar dengan kritikan tersebut. Pemimpin adalah berpolitik, dan orang yang berpolitik mesti pandai menerima teguran dan berfikir dengan lebih kritis dan kehadapan. Orang yang ada berparadigma bukan yang stereotaip dan statik. Kalau anada memilih yang sterotaip atau statik, anda tidak akan ke mana nanti jawabnya.

Jika anda menjalani hidup seharian tanpa banyak berfikir lagi, seolah-olah memandu sebuah pesawat secara autopilot, atau melalui kehidupan tanpa perancangan untuk mengubah masa depan, maka anda sebenarnya sedang berada dalam zon rutin. Sebenarnya bukan sukar untuk keluar daripada rutin itu. Anda hanya perlu membuat keputusan untuk berubah. Jika berterusan dengan kerja, atau tindakan yang sama setiap hari, keputusan atau hasil yang didapati juga hampir serupa.

Bagi saya, lebih baik body lama asalkan enjinnya bersih dan lancar daripada body baru tetapi enjinnya berkarat. Untuk pimpinan sesi baru nanti, saya mengharapkan perubahan yang lebih baik!

05/11/2009

K-INTENSIF 09/10

Pasa saat ini, keperluan melahirkan pemimpin-pemimpin Negara yang bersifat multi-dimensional amat mendesak lantaran pentingnya pendidikan harus didukung oleh penguasaan bahasa asing sebagai alat pencerdasan.

Bahasa adalah salah satu soal kecerdasan bangsa yang terpenting. Bahasa kita sendiri menjadi syarat bagi berdiri tegaknya kebudayaan kita. Akan tetapi, satu kebudayaan yang hidup, tidak cukup hanya dengan tinggal berdiri sahaja. Ia perlu tumbuh, bertambah, berubah, dan bergerak dinamik. Justeru perlu kepada pertukaran ‘udara’, perlu kepada tambahan ‘baja’, perlu kepada tambahan ‘air’ yang menjadi syarat penawar hidupnya. Oleh sebab itu, disamping bahasa ibonda kita sendiri, bahasa asing yang lebih luas dan lebih kaya dapat menghubungkan kita dengan negara luar, menjadi suatu rukun yang tak boleh tidak, bagi kemajuan dan kecerdasan kita.

Dr. Muhammad Natsir, tokoh nasional Indonesia berkata mengenai alam melayu, “Kalau kita disini mengatakan ‘bahasa asing’, ghalibnya kita ingat kepada bahasa Belanda, Inggeris, Perancis, Jerman, atau lain-lain. Dan memang bahasa Belanda, bahasa Inggeris, dan sebagainya itu banyak jasanya... Ini tidak kita mungkiri! Akan tetapi, jangan kita lupakan bahawa sebelum bahasa Belanda menjadi perhubungan dengan dunia luar, sebelumnya bahasa inggeris mulai dipelajari dikalangan bangsa kita. Kita di Indonesia sudah berpuluh tahun terlebih dahulu mempunyai bahasa perhubungan, jembatan yang menghubungkan kita dengan sumber kebudayaan dunia luar, iaitu bahasa Arab! .... dan bagi kita kaum Muslimin, adalah bahasa arab itu satu bahasa persatuan yang tak akan mungkin dicarikan gantinya, bahasa kunci dari perbendaharaan ilmu dan pengertian agama kita. Besar kerugian dan kerusakan yang menimpa kita apabila bahasa ini kita abaikan dan kita kesampingkan.”

Oleh yang demikian, PKPMI-CM yang mempunyai majoriti ahlinya adalah muslim dan meletakkan asas perlembagaannya berteraskan nilai-nilai islam dan ideologi kebangsaan Negara bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam mendidik anak bangsa untuk mendalami bahasa asing tanpa mengesampingkan kepentingan penganut agama lainnya. Pada peringkat awal, pihak persatuan akan tumpu kepada penguasaan Bahasa Arab terlebih dahulu sebelum bahasa asing lainnya.

Oleh: Pemangku YDP PKPMI-CM