Entri Terkini »

08/07/2010

Soft Opening Bandung Games 2010 @ Buletin Utama

Suatu upacara soft launching Bandung Games 2010 telah diadakan yakni dengan melancarkan laman web rasmi Bandung Games, di http://www.bandunggames.com. Berikut adalah petikan serta video dari upacara tersebut. Keterlambatan memasukkan artikel ini amat dikesali kerana terdapatnya beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Harap maklum.

Majlis Pelancaran Web Bandung Games 2010 Print E-mail

20 April 2010


SEKRETARIAT Bandung Games 2010 dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan hari ini melancarkan laman web rasminya www.bandunggames.com di Menara Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Dato’ Ahmad Shabery Cheek. Turut hadir menyerikan majlis ialah Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Tan Sri Profesor Ambassador Da’i Bachtiar dan Pengerusi Bandung Games 2010, Che Azizuddin Che Ismail.


Diadaptasi dari temasya sukan antarabangsa, penganjuran Bandung Games 2010 bertujuan mewujudkan landasan kepada 6,000 pelajar Malaysia di Indonesia untuk mendekatkan diri sesama rakan pelajar dan pihak kerajaan Malaysia. Ia juga diharap dapat mewujudkan hubungan mesra di antara para pelajar Malaysia dengan masyarakat setempat supaya mereka lebih prihatin dan mampu menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat negara jiran itu sekiranya dilanda sebarang malapetaka yang tidak diingini seperti yang berlaku sebelum ini.


Menurut Dato’ Ahmad Shabery, kerajaan sentiasa berusaha melahirkan modal insan yang mampu menyahut cabaran global.
“Sebab itu kita harus menerapkan nilai-nilai murni di kalangan para pelajar Malaysia terutama yang menuntut di luar negara. Kita mahu belia negara sentiasa bersatu padu bukan sahaja di dalam mengejar kejayaan akademik tetapi turut prihatin dengan keadaan sekeliling.


Justeru, temasya sukan seperti Bandung Games 2010 ini diharap dapat menerapkan semangat kekitaan dan bantu-membantu di antara para pelajar Malaysia di Indonesia dan pada masa yang sama prihatin apabila negara jiran kita dilanda musibah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk Bandung Games 2010, Che Azizuddin Che Ismail berkata, temasya sukan ini akan mewujudkan hubungan dua hala yang sihat antara Malaysia dan Indonesia.


“Kita berharap dengan adanya temasya seumpama ini, para pelajar Malaysia berpeluang berinteraksi bukan sahaja di kalangan rakan senegara malah masyarakat setempat selain mempelajari budaya dan gaya hidup rakyat di Indonesia.


“Menerusi Bandung Games 2010 ini juga para pelajar berpeluang mengenalpasti halatuju kerjaya masing-masing dengan adanyanya Ekspo Road To Bandung yang bakal diadakan di Jakarta pada 1 hingga 3 Oktober 2010. Maka itulah kita melancarkan laman web Bandung Games 2010 pada hari ini untuk memudahkan para pelajar mendapat maklumat terkini bukan sahaja mengenai temasya tersebut malah peluang-peluang lain yang ditawarkan kepada mereka terutama daripada sektor korporat,’’ katanya.

Jelas beliau lagi, Bandung Games 2010 merupakan acara tahunan yang akan dikendalikan sendiri oleh para pelajar Malaysia yang menuntut di Indonesia dengan dipandu oleh jawatankuasa induk selama tiga tahun.


Temasya yang julung-julung kalinya diadakan bermula tahun ini akan berlangsung di Bandung, Indonesia pada 8, 9 dan 10 Oktober 2010 membabitkan kira-kira 6,000 pelajar Malaysia yang menuntut di 17 buah daerah seluruh Indonesia. Penganjurannya diharap dapat menberi kesan positif terhadap aspek sosial, ekonomi dan politik bukan sahaja rakyat malah kedua-dua buah negara.

0 comments: