Entri Terkini »

03/05/2009

Pelajar USU Ditahan Di Rumah Sakit Permata Bonda, Medan.

KOTA MEDAN: Pada 11 April yang lalu, seorang ahli PKPMI-CM telah dimasukkan ke Rumah Sakit Permata Bonda, Medan akibat sakit yang dihidapi dan memerlukan rawatan inap.Ahli tersebut adalah pelajar FK USU ’07, saudari Yauzieha yang telah diserang migrain pada tahap yang kuat sehingga terpaksa dimasukkan ke wad tersebut.

Saudari Yauzieha sebelum itu telah mengalami demam selama 4 hari dan pada hari jumaat beliau telah mengadu bahawa beliau merasakan kesakitan yang terlalu kuat pada bahagian kepala.

Setelah didiagnosa oleh doktor,saudari Yauzieha telah didapati menghidapi migrain yang kuat dan telah mengalami ”photofobia” serta saudari Yauzieha mendapati bahawa beliau tidak tahan pada suasana yang bising.

Oleh yang demikian, Yang Di Pertua PKPMI-CM, Saudara Amsyar bin Mohammad beserta exco-exco PKPMI-CM yang lain telah mengambil inisiatif untuk turun melihat sendiri keadaan ahli yang sakit tersebut.

Ketika menziarahi pelajar FK USU ’07 terbabit beliau memberitahu bahawa beliau akan menjalankan pemeriksaan EEG (Electroencephalography), dan setelah mendapatkan rawatan daripada pihak rumah sakit, keadaan beliau kembali stabil. Beliau dijangka keluar dari rumah sakit pada keesokan harinya.

Pihak PKPMI-CM menyeru semua mahasiswa Malaysia untuk sama-sama mendoakan kesembuhan pelajar berkenaan agar beliau dapat kembali ke kuliah seperti biasa. Sekian terima kasih.


Oleh: Biro Kebajikan

Laporan Program Kursus Pengurusan Organisasi 09 (KPO)

MEDAN: Pada 5 April 2009 yang lalu, PKPMI-CM telah mengadakan program Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) yang bertempat di MESS (Pusat Pelajar Malaysia Medan). Seramai 24 orang yang menghadirkan diri pada program tersebut, yang terdiri daripada barisan kepimpinan PKPMI-CM, PM-USU dan MPMM IAIN-SU.

Majlis bermula pada jam 8.00 pagi. Antara kertas kerja yang disampaikan dalam kursus tersebut adalah:

Kertas Kerja 1: Feqh Aulawiyat, Wala' dan Bara oleh Saudara Mohd Ridzuan bin Yahya (Khusus untuk pelajar Muslim)

Kertas Kerja 2: Kunci Perfailan dan Penyediaan Blueprint, Proposal & Kertas Kerja oleh Saudara Mohd Razki bin Mohd Razak.

Kertas Kerja 3: Cara Berkomunikasi oleh Saudara Omar bin Md Rasib

Kertas Kerja 4: Teknik Berfikir, Merancang dan Menyelesaikan Masalah oleh Saudara Mohd Ridzuan bin Yahya

Kertas Kerja 5: Teknik Pengendalian Mesyuarat dan Protokol Majlis oleh Saudara Mohd Razki bin Mohd Razak



Jamuan disediakan, selesai sahaja pembentangan kelima-lima kertas kerja tersebut, majlis perasmian penutupan KPO dilangsungkan dan dirasmikan oleh Encik Syafrin Azmi, selaku konsul muda Konsulat General Malaysia.

Majlis berakhir kira-kira pada jam 9 malam. Tahniah dan syabas diucapkan kepada panitia yang bertungkus-lumus menjayakan majlis tersebut, juga kepada para kesemua peserta. Semoga KPO pada kali ini menjadikan kita lebih berjiwa kepimpinan dalam organisasi yang kita pegang.

"Gembleng Kekuatan Pasak Keilmuan".

Oleh: Biro Jurnalistik, PKPMI-CM

02/05/2009

Penubuhan unit MRG dan MEG PKPMI-CM

Perasmian penubuhan Medical Research Group (MRG) dan Medical Education Group (MEG) Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Medan (PKPM-CM) di Aceh Sepakat pada 12 April 2009 oleh Timb. Yang Di-Pertua PKPMI-CM

Menyedari kepentingan dalam meningkatkan mutu pendidikan pelajar Malaysia yang menuntut di Medan Indonesia, persatuan induk pelajar (baca: PKPMI-CM) yang diterajui oleh barisan kepimpinan yang baru telah mewujudkan dua unit yang baru iaitu Medical Education Group (MEG) dan Medical Research Group (MRG), sejajar dengan motto persatuan pada tahun ini, “Gembleng Kekuatan, Pasak Keilmuan”.

Unit MRG & MEG yang berada dibawah kelolaan Exco Biro Pendidikan & Penyelidikan PKPMI-CM, saudara Amir Kamaruzzaman bermatlamat membuka ruang seluasnya kepada para pelajar untuk bergerak aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan, pendidikan, dan penyelidikan dibidang perubatan pergigian sesuai dengan prinsip agama.

MENGUBAH PERSEPSI


Pada tahun ini, persatuan berusaha mengubah persepsi pelajar terhadap fungsi persatuan itu sendiri. Persatuan bukan hanya futsal. Persatuan bukan hanya dinner. Persatuan bukan hanya solat hajat. Persatuan bukan hanya menguruskan imigrasi. Persatuan adalah satu wadah, berperanan melahirkan pelajar yang berakhlak tinggi, berkompetensi dalam kerjaya, dan mencapai tujuan tertingginya iaitu keimanan kepada ALLAH tanpa menghalang mana-mana pelajar bukan muslim untuk mengamalkan ajaran agamanya masing-masing.

Lihat Perlembagaan PKPMI Bab II Asas dan Tujuan Fasal 5,

“Persatuan ini berdasarkan pada pendidikan, persahabatan dan kerjasama dengan pihak-pihak berkaitan untuk meningkatkan mutu pendidikan dan kebajikan pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia dengan berteraskan pada NILAI-NILAI ISLAM dan Ideologi kebangsaan Malaysia (Rukun Negara).”


Seminar Karya Tulis Ilmiah:
Program No#1 Medical Research Group (MRG PKPMI-CM) Anjuran Bersama Unit Scorer PEMA FK USU yang mendapat sambutan menggalakkan dari pelajar Malaysia dan Indonesia.