Entri Terkini »

27/08/2009

Laporan Program Sambutan Mahasiswa Baru 2009 (PSMB)

Program orientasi bagi pelajar-pelajar baru adalah program tahunan yang diadakan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Medan (PKPMI-CM) bagi meraikan kedatangan warga-warga baru yang bakal menjadi sebahagian daripada keluarga PKPMI-CM di bumi Medan ini. Pada tahun 2009 ini, majlis sambutan ini dinamakan Program Sambutan Mahasiswa Baru (PSMB) dan telah berlangsung di Asrama Haji Medan selama 2 hari berturut-turut iaitu pada 16 dan 17 Ogos 2009. Peserta program adalah daripada seramai 113 orang dan merupakan mahasiswa baru stambuk 09 yang bakal menjalankan perkuliahan di Universitas Sumatera Utara (USU) dan Institut Agama Islam Negeri (IAIN). Meraka telah mendaftarkan diri sekitar jam 10.00 WIB pada 16 Ogos 2009. Seramai hampir 100 orang panitia dan fasilitator, yang diketuai oleh saudara Wan Mohd Suhafifi bin Sukri selaku pengarah program telah bertungkus-lumus dalam menjayakan program ini sebelum dan semasa ia berlangsung.


‘Persaudaraan Dibina Semangat Dijana’ dipilih sebagai tema PSMB tahun ini yang secara umum mempunyai tiga tujuan. Pertama, adalah untuk melahirkan generasi ilmuan yang terarah dan bertangggungjawab. Kedua, memberikan pendedahan tentang suasana pembelajaran, kehidupan berpesatuan dan suasana hidup di bumi Medan, dan yang terakhir, adalah untuk mempersiapkan diri para peserta bagi menghadapi tribulasi hidup di perantauan. Pada hari pertama, program ini telah dirasmikan oleh wakil Pemangku Yang Di-Pertua PKPMI-CM, Ustaz Omar bin Mad Rasib.


Sepanjang program, panitia unit disiplin dan protokol begitu bekerja keras bagi memastikan para peserta disiplin sepanjang program terutama melibatkan waktu dan barang-barang amanah yang diminta dibawa oleh setiap perserta. Aktiviti yang dijalankan juga banyak berbentuk modul yang dijalankan mengikut kelompok. Antara modul yang dijalankan adalah ‘Seposen Satu’, ‘Mummy’, dan ‘Handphone Masuk Air’. Para fasilitator dan peserta begitu menampakkan semangat bekerjasama dalam menjayakan setiap modul yang dilaksanakan.


Majlis penutup telah diadakan pada jam 20.00 WIB pada hari terakhir program. Ia telah dihadiri oleh wakil Konsul Jeneral Malaysia yang berhalangan hadir. Para peserta juga telah mempersembahkan bakat masing-masing ketika majlis penutup tersebut. Program diakhiri dengan majlis memohon maaf antara peserta dan semua panitia, termasuk fasilitator. Di wajah para peserta telah menunjukkan wajah keceriaan dan harapan agar setelah program ini, mereka dapat terus menjalinkan hubungan yang erat dengan abang-abang dan kakak-kakak yang mereka kenal sepanjang PSMB ini.


Dengan berkahir program ini, maka para peserta secara rasminya telah menjadi ahli PKPMI-CM yang sah. Doa dan harapan agar adik-adik baru 09 dapat bersama-sama selangkah kaki, sehayun tangan dalam menghadapi apa jua rintangan dan tribulasi ketika di perantauan demi mencapai cita-cita yang diimpikan.


Oleh: Wan Mohd Suhafifi, Pengarah Program PSMB 09.


p/s: Tahniah buat semua panitia PSMB 2009 yang bertungkus lumus menjayakan program tersebut dan selamat datang kami ucapkan buat pelajar-pelajar baru Malaysia ke Medan. Horas!

0 comments: