Entri Terkini »

18/02/2010

MSK vs Ospek


Disiarkan di dalam Majalah Episode (PKPMI-CM 2010)

Nur Fairuz Binti Md Teridi

Exco Hal Ehwal Pelajar,

Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia Di Indonesia (PKPMI) Pusat sesi 09/10

Fakulti Kedoktoran Universiti Trisakti, Jakarta


Persatuan Kebangsaan pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) yang ditubuhkan pada 18 Mei 1968 adalah sebuah persatuan yang bertanggung jawab untuk menyatupadukan seluruh pelajar Malaysia di Indonesia dan menjaga kepentingan dan kesejahteraan para pelajar tersebut. PKPMI dinaungi oleh Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia dan sehingga kini terdapat sebanyak 15 cawangan PKPMI di seluruh Indonesia.

Antara amanah yang diberikan kepada PKPMI dalam membantu para pelajar adalah melalui penganjuran Majlis Suai Kenal (MSK) yang diadakan khas untuk pelajar baru. Exco Pembangunan dan Hal Ehwal Pelajar PKPMI Pusat mengambil inisiatif hasil dari Kongres Tahunan pada bulan April 2008 untuk menyelaraskan MSK di seluruh cawangan di Indonesia. Kesepakatan ini tercapai apabila timbulnya beberapa hal yang kurang menyenangkan di beberapa cawangan yang menerima tempias dari sistem orientasi di Indonesia atau lebih dikenali sebagai OSPEK.

OSPEK adalah singkatan kepada Orientasi dan Pengenalan Kepada Lingkungan Kampus. OSPEK telah menjadi suatu tradisi yang melembaga sejak dahulu pada institusi pendidikan di Indonesia seperti SMA dan Perguruan Tinggi terutama pada masa penerimaan pelajar dan mahasiswa baru. Pada dasarnya OSPEK mempunyai tujuan untuk mempersiapkan pelajar-pelajar baru, tetapi lama-kelamaan ianya telah dipesongkan dan menjadi medium bagi para senior ‘mengajar’ para junior. Sistem OSPEK ini menggunakan pendekatan yang agak kasar dan tegas yang mana tidak sejajar dengan budaya dan nilai-nilai yang ada di Malaysia. Dalam rangka pelaksanaan aktiviti OSPEK di kampus, pelajar-pelajar baru diperlakukan sesuka mereka sehingga dianggap menjatuhkan harga diri pelajar itu sendiri. Akibat dari aktiviti yang dilakukan dikatakan mendera minda dan psikologi pelajar baru, jika dipandang dari sudut psikologinya, maka akan timbul yang dinamakan ‘Trauma Psikologi’. Justeru, hal ini menimbulkan keraguan di kalangan ibu bapa dan penjaga untuk membenarkan anak-anak mereka turut serta dalam acara MSK di Indonesia meskipun dianjurkan oleh pihak PKPMI sendiri.

Akibat timbulnya perkara negatif tersebut, maka ramai daripada pelajar baru dari Malaysia menolak untuk mengikuti acara suai kenal yang dianjurkan oleh pihak PKPMI. Maka dengan itu, wujudlah MSK yang menggantikan OSPEK. Objektif utama MSK ini adalah untuk memperkenalkan para pelajar baru dengan lingkungan dan memupuk semangat silaturahim sesama pelajar.

Dalam penyelarasan MSK ini, pihak PKPMI Pusat telah mengatur pertemuan dengan pelajar-pelajar yang akan berangkat ke Indonesia di Malaysia semasa taklimat ‘Pre-depature” dilangsungkan. Hal ini bertujuan memberi gambaran awal kepada pelajar dan ibu bapa terhadap apa yang bakal mereka hadapi kelak sekali gus membantu mereka membuat persediaan yang mencukupi sebelum melangkah ke sini. Penganjuran program ini dianggap penting kerana suasana dan persekitaran baru yang jauh berbeza dari suasana di tanah air seperti perbezaan dari segi bahasa pertuturan, mentaliti masyarakat sekitar, adat resam dan lain-lain. Dengan ini diharapkan para pelajar akan lebih cepat beradaptasi dengan lingkungan baru dan memudahkan proses pembelajaran kelak. Segala aktiviti dan acara yang dijalankan akan dipantau oleh wakil dari PKPMI cawangan dan para senior dari setiap universiti ditugaskan menjadi mentor atau fasilitator kepada para pelajar baru.

Semasa MSK ini berlangsung, aktiviti yang dilakukan adalah memperkenalkan beberapa struktur dan organisasi yang penting kepada para pelajar. Para pelajar akan diperkenalkan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia serta fungsinya, dan struktur organisasi PKPMI sama ada PKPMI pusat atau cawangan berserta ahli-ahlinya. Beberapa sesi pertemuan antara pelajar baru dan wakil dari Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia diadakan di setiap cawangan bertujuan memperkenalkannya sebagai badan yang berwajib yang menjaga kebajikan pelajar. Para pelajar baru turut diperkenalkan dengan pelajar-pelajar senior semasa MSK ini berlangsung. Aktiviti-aktiviti selingan contohnya acara sukan dan rekreasi dilangsungkan antara para pelajar senior dan pelajar baru supaya ikatan persahabatan terjalin erat dan timbulnya rasa kekitaan di kalangan para pelajar.

Diharapkan dengan adanya MSK ini, pelajar-pelajar baru akan lebih cepat beradaptasi dengan lingkungan dan persekitaran baru yang mana ia jauh lebih berbeza dengan lingkungan di tanah air. Bukan itu sahaja, mentaliti OSPEK dari minda pelajar baru di Indonesia dan ibu bapa juga dapat dibuang jauh kerana MSK menerapkan nilai-nilai yang sejajar dengan adat dan budaya rakyat Malaysia dan jauh berbeza dari OSPEK. Selain itu harapan agar pelaksanaan MSK ini dapat dicapai dengan jayanya, berbekalkan kerjasama seluruh pihak sama ada PKPMI pusat dan cawangan seluruh Indonesia. Semoga penganjuran Majlis Suai Kenal ini akan menjadi pemacu dalam kejayaan para pelajar menuntut ilmu.

0 comments: